Pages

Wednesday 8 June 2011

Dari hati ibu...

Tika hidup didatangi ujian, hati kerap menyalahkan takdir tanpa sedar ujian itu datangnya dari kekhilafan diri-sendiri. Rapuhnya iman saat diri berkata kepada TUHAN begini:   "Kenapa aku yang KAU pilih untuk ujian seberat ini?"   Tanpa manusia sedar DIA menjawab, dengan harapan manusia tenang seketika menghadapi ujian-Nya:   "Aku tidak membebani hamba-Ku dengan sesuatu yang tidak mampu hamba-Ku tanggungi"   Hati manusia masih tegar merajuk dan sukar dipujuk, ada sahaja rintihan demi rintihan. Sehinggakan adakalanya mengalir air mata menanggung beratnya ujian. Bukan hati tidak redha tetapi tidak semua kudrat manusia sama, air mata juga berbeza nilainya. Masakan Nabi jua menangis saat pemergian serikandi agung Saidatina Khadijah.   Manusia merintih lagi, kali ini bersama linangan air jernih:   "Aku hampir berputus-asa ya ALLAH, aku hampir rebah.."   TUHAN tersenyum, hamba-Nya belum lagi mengetahui erti kasih & sayang di sebalik ujian itu. DIA tidak jemu memujuk hamba-Nya, lantas berfirman lagi:   "Sesungguhnya apa yang kamu sukai belum tentu baik bagi kamu dan apa yang dibenci olehmu (kesakitan dalam ujian) boleh jadi ia baik untukmu. AKU mengetahui segala apa yang tidak diketahui olehmu"   Tiba-tiba hati mula terasa dipujuk & dibelai lantas beristighfar seketika. Merenung sejenak kalau-kalau ujian ini berupa kaffarah dari  masa lampau. Mengalir lagi air mata si hamba teresak-esak. Baru tersedar sekian lama dia tidak diuji sebegini. Sambil menadah tangan hamba itu berdoa:   "Ya ALLAH, akhirilah segera ujian ini agar aku tenang menghadapi kehidupan seterusnya"   Tuhan tidak segera menarik ujian itu, DIA mahu hamba-Nya sendiri mengerti nilai cinta yang ada pada keperitan tersebut. Bahkan adakalanya semakin berat ujian yang ditanggung. Yang DIA mahukan hanyalah kesabaran & doa daripada hamba-Nya. Tuhan cuba meyakinkan hamba itu:   "Sesungguhnya bersama kesusahan ini, ada kesenangannya"   Tuhan berkata lagi:   "Sesungguhnya ALLAH bersama-sama orang yang sabar"   Lama hamba itu berfikir, akhirnya dia mengukir senyum dengan hati yang sedang menangis. Hati kecilnya bersuara untuk kali yang terakhir, dengan harapan TUHAN mendengar rintihan itu.   "Tuhan, aku redha.."   Lalu termakbullah sebuah cinta dan kasih sayang ALLAH untuk hamba-Nya. Tika hamba itu sedang sarat menanggung beban ujian dia mengeluarkannya pada jalan yang tidak disangka-sangka. Dicurahkan nikmat yang pelbagai hasil kesabaran hamba itu.Sedetik dia berkata:   "Tuhan, kalaulah aku mengerti sejauh ini cinta yang KAU akan berikan kepadaku, sebesar manapun ujian dari-Mu akan aku hadapinya dengan segenap jiwaku. Biar terlerai jasad & nyawa, demi cinta & kasih-Mu yang agung ini, aku sanggup melaluinya.."   "ALLAH, ampunkan aku jika rintihan ini tidak layak aku utuskan untuk-Mu"   Setitis kamu diuji, selautan rahmat dan kasih ALLAH dilimpahkan. Sesaat kamu bersedih, selamanya DIA bersama kamu.

sumber dari afiqsaleh.blogspot.com

No comments:

Post a Comment